Friday, June 10, 2011

PANTUN

Sepanjang Ramadhan orang bertarawih
Selesai sembahyang membaca al Qur'an
Orang beriman hidupnya solih
Dadanya lapang lakunya sopan


Pergi ke kedai membeli pahat,
Pahat diletak di atas almari;
Janganlah kita membuat jahat,
Kawan benci kawan lari.

Jalan-jalan ke Batu Pahat
Burung kenari di atas dahan
Kalau hidup hendak selamat
Taat selalu perintah Tuhan

Burung puyuh di atas dahan
Terbang pergi ke lain pohon
Hidup mati ditangan Tuhan
Kepada Allah kita bermohon

Pak Mamat menggali perigi
Ambil buluh lalu diikat
Ilmu dicari tak akan rugi
Buat bekalan dunia akhirat

Datin Rosiah beli pinggan
Pinggan dibeli di Tanah Merah
Hidup di dunia banyak dugaan
Kepada Allah kita berserah

LIRIK LAGU - SELIMUT PUTIH

BILA IZRAIL DATANG MEMANGGIL
JASAD TERBUJUR DI PEMBARINGAN
SELURUH TUBUH AKAN MENGGIGIL
SEKUJUR BADAN NAN KEDINGINAN

TIADA LAGI GUNANYA HARTA
KAWAN KARIB SANAK SAUDARA
JIKALAH ADA AMAL DI DUNIA
ITULAH HANYA PEMBELA KITA

JANGANLAH MAHU DISANJUNG2
ENGKAU DIGELAR MANUSIA AGUNG
SEDARLAH DIRI TAHU DIUNTUNG
SEBELUM MASA KERANDA DIUSUNG

DATANG MASANYA INSAFLAH DIRI
SELIMUT PUTIH PEMBALUT BADAN
TINGGAL SEMUA YANG DIKASIHI
BERBALTILAH HIDUP SEPANJANG ZAMAN

BILA IZRAIL DATANG MEMANGGIL
JASAD TERBUJUR DI PEMBARINGAN
SELURUH TUBUH AKAN MENGGIGIL
SEKUJUR BADAN NAN KEDINGINAN

SAJAK/PUISI - Buat Bonda Tersayang

Bonda…

Berderai manik-manik jernih dari kedua mataku..
tatkala aku membaca Yasin di hadapan pusaramu,
saat itu aku mengenangkan segala pengorbananmu,
namun Yang Maha Esa telah menjemputmu terlebih dulu.

Bonda…

Ku kirimkan segunung doa sepenuh kasih sayangku,
Tidak terbanding kasihmu bak seluas langit membaluti bumi nan kedinginan,
Pergimu dengan keredhaan bersatu dalam kehilangan dipandangan sepiku,
Anakmu di dunia ini akan meneruskan perjalanan bersama pesan dan amanahmu.

Bonda…

Betapa aku amat merindui dirimu yang telah lama lena dalam pembaringan,
Setiap tutur katamu adalah nasihat..benteng menghadapi mehnah dan tribulasi dunia,
Syahdu dan pilu rasanya berjauhan darimu walau bukan itu pintaku,
Aku redha dan ikhlas dalam langkahmu menuju ILLAHI.

Bonda…

Walau seketika aku alpa,
Kasihmu sentiasa menjadi ingatan abadi buat diriku,
Membawa hidayah keinsafan seorang anak,
Dalam menjalani kehidupan duniawi yang fana ini.

Bonda…

Bersemadilah dengan tenang dan aman,
Semoga rohmu diberkati Yang Esa,
Doaku untukmu tidak pernah kering meniti di bibirku,
Dikaulah bondaku di dunia dan akhirat.

CERPEN - Anugerah permata buat suamiku...

ANUGERAH PERMATA BUAT SUAMIKU…

"Sudah tujuh tahun Yusuf, tujuh tahun! Sudah lama benar kau kahwin dengan perempuan itu! Jangankan dua, seorang cucu pun ibu tak dapat lagi!"

Hajah Marina sudah tidak dapat bersabar lagi. Sikap acuh tidak acuh Yusuf benar-benar membuatkan dia naik darah. Ini bukan kali pertama dia naik angin. Sudah hampir berates-ratus kali agaknya Yusuf mendengar bebelan yang sama setiap kali dia datang menemui ibunya itu.

"Dulu ibu dah cakap. Jangan kahwin dengan perempuan itu. Dia tu mandul! Tengok muka dia pun ibu dah tahu dia tu tak sihat. Tapi kau tak pernah nak dengar cakap ibu. Kau kahwin juga dengan dia. Sekarang kau terimalah padah akibat ingkar kata-kata ibu. Orang lain baru dua tahun kahwin pun dah ada dua orang anak, engkau ni dah tujuh tahun kahwin, seorang anak pun tak ada!"

Hajah Marina terus-menerus melayan amarahnya. Betapa emosinya pada waktu itu dikuasai oleh syaitan laknatullah yang ligat menghembuskan hasutan dan kata-kata keji ke dalam hati wanita berusia separuh abad itu.

" Rezeki tu di tangan Allah ibu. Mungkin belum sampai masanya lagi. Kalau Yusuf sebagai suami boleh bersabar, mengapa ibu tak boleh? Susah sangat ke, ibu?", sedih Yusuf apabila terpaksa bertelagah dengan ibunya setiap kali mereka bersua muka.
Bukan senang untuknya mencuri masa bertemu dengan ibunya. Namun, setiap kali ada peluang bertemu, pasti isu zuriat yang akan dibangkitkan. Kadangkala Yusuf terfikir, andai saja ayahnya masih ada, pasti ibunya tidak akan bersikap sebegitu.
Pemergian Haji Malik telah membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Terutama sekali terhadap ibunya. Ibunya kini bukan lagi seorang insan penyayang, bukan lagi seorang insan yang lembut dan sopan, juga bukan lagi seorang insan yang halus bicaranya.

Secara jujurnya, perubahan pada sikap Hajah Marina benar-benar menyiksa batin Yusuf. Ayahnya pergi dengan membawa bersama sinar cahaya yang dahulunya menjadi penerang di kala siang, pelita di kala kelam.
Kewibawaan dan kehebatan Haji Malik sebagai nakhoda kepada bahtera yang mereka layarkan ke lautan Ilahi benar-benar menjadikan beliau sanjungan isteri serta waris tunggalnya. Yusuf, satu-satunya permata yang mampu diberikan oleh Hajah Marina dibentuk dan diasuh dengan penuh kasih sayang serta perhatian walaupun amat sibuk dengan pelbagai urusan di luar kota.

Haji Malik dan Hajah Marina sentiasa memastikan waris tunggal mereka mendapat segala yang diperlukan bagi mendepani dunia yang penuh fatamorgana yang mampu menyesatkan jiwa-jiwa yang kosong. Sejak kecil lagi, Yusuf dibentengi dengan ilmu serta pengetahuan dalam bidang agama. Tidak lupa juga pengetahuan duniawi yang membantunya berjaya di dunia ini.

Sungguh kiamat itu benar, dan atas kepercayaan itulah Haji Malik tidak pernah leka dalam memastikan ahli keluarganya bersedia untuk menerima kedatangan hari itu nanti. Dia tidak mahu keluarganya tergolong dalam kalangan manusia-manusia yang lalai dan kerugian.

Namun, sejak beliau pergi menyahut panggilan Ilahi, segala-galanya telah berubah. Rumah besar yang dahulunya terang menjadi gelap-gelita. Sunyi dan sepi tanpa cahaya Ilahi. Tidak ada lagi kehangatan serta kasih sayang di dalam rumah itu. Pernah suatu ketika dahulu Yusuf tersesat dari jalan yang dahulunya pernah dia lalui bersama arwah ayah tercinta. Imannya cukup rapuh ketika itu. Serapuh besi berkarat yang boleh hancur dengan hanya sekali jentik sahaja. Namun, cepat-cepat dia tersedar lalu membetulkan landasannya.

Alhamdulillah...Kehadiran Wahidah ke dalam hidupnya memudahkan lagi usahanya kembali ke jalan Allah. Wahidah, sekuntum bunga indah yang dia temui di rumah Allah terus di angkat menjadi zaujahnya sebaik sahaja dia mengenalinya melalui seorang Ustaz.
Wahidah hidup sebatang kara. Hidupnya di bumi ini menumpang kasih Allah yang disalurkan melalui seorang insan mulia seperti Ustaz Amin. Dengan keyakinan bahawa Yusuf akan membimbing Wahidah ke jalan syurga, Ustaz Amin dengan rela hatinya menyerahkan Wahidah kepada Yusuf. Tidak ada sedikit pun keraguan di hatinya terhadap jejaka soleh seperti Yusuf. Doanya agar mereka berjaya di dunia dan di akhirat kelak.
******************

" Wahidah, ibu dah tak boleh sabar lagi! Ibu dah ada calon untuk Yusuf. Dah tujuh tahun kau kahwin dengan Yusuf, tapi kau tak mampu nak berikan ibu walau seorang cucu pun. ibu dah tak tahan bermenantukan perempuan cacat macam kau. Sekarang kau pilih sendiri. Sama ada kau beri ibu cucu dalam masa enam bulan ni, atau kau izinkan Yusuf kahwin lagi. Ingat, Wahidah! Yusuf tu satu-satunya anak ibu. ibu tak boleh terus berdiam diri andai keturunan ibu dibiarkan tak bersambung begini. Lagi satu! Kalau sampai Yusuf tahu hal ni, kau tahulah nasib kau nanti!”
Bicara tersebut hampir saja membuatkan Wahidah rebah menyembah bumi. Berkecamuk hati wanitanya apabila kata-kata keras seperti itu dituturkan kepadanya. Hati wanita mana tidak sedih jika menerima panggilan seperti itu.

"Astarghfirullahal ‘azim..." Beristirghfar panjang Wahidah sebaik saja menerima amaran keras tersebut. Sungguh tidak dia sangka, ibu mertua yang selama ini disanjungnya bagai ibu kandung sendiri sanggup menuturkan kata-kata tersebut terhadapnya. Wahidah sedar siapa dirinya. Wanita yang serba kekurangn, wanita yang tidak sempurna.

Bukan dia tidak pernah berusaha. Sudah bermacam -macam ikhtiarnya dengan Yusuf. Namun, tidak satu pun usahanya menunjukkan hasil yang diinginkan. Wahidah redha, mungkin Allah masih ingin mengujinya. Ujian ini adalah suatu tarbiah buatnya. Bibirnya tidak pernah putus berdoa kepada Allah. Doanya agar suatu hari nanti Allah akan mengurniakannya seorang permata yang bakal mendoakan dia dan suaminya di saat mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Nabi Ibrahim a.s. yang mendapat tempat khusus di sisi Allah tidak pernah mengeluh walaupun dikurniakan dengan cahaya mata hanya ketika usianya sudah lanjut. Inikan pula dirinya. Dirinya yang hanya merupakan makhluk yang lemah lagi hina di sisi Allah. Wahidah yakin bahawa ujian yang didatangkan kepadanya tidak sia-sia. Pasti ada hikmah di sebaliknya. Sama seperti pelangi indah yang muncul sesudah hujan di siang hari.
***********

Wahidah menyambut kepulangan suaminya dengan senyuman yang paling manis. Dia tidak mahu bermuram durja apabila sedang bersama suaminya. Wahidah cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin. Walaupun begitu, ada kesedihan di mata beningnya yang terkesan oleh Yusuf. Segera Yusuf mencari puncanya.

" Sayang, kenapa ni? Kenapa sayang Abang sedih hari ni? Patutlah air panas yang Abang minum ni pun terasa sejuk je. Rupa-rupanya, ada orang tengah berduka ni....", lembut sekali bicara Yusuf terhadap ratunya itu. Diselitkan sedikit jenaka dalam kata-katanya tadi. Dia cuba memancing tawa Wahidah.
Wahidah menjadi sedikit gugup. Sungguh dia gagal menjadi aktres terbaik setiap kali berdepan dengan suami tercinta. Walaupun begitu, dia tidak semudahnya meluahkan segala rasa pahit yang sedari tadi dipendamnya jauh di lubuk hati yang paling dalam. Biarlah hempedu itu dia telan sendiri. Dengan suara yang manja, Wahidah membalas gurauan suaminya.

" Abang tu la... Keluar tak ajak sayang pun . Lepas tu, tinggalkan sayang lama-lama kat sini. Sorang-sorang pula tu. Sayang rindu abang tau..."
Yusuf ketawa besar. Sikap manja yang ditunjukkan oleh isterinya yang terkadang tegas itu benar-benar mencuit hatinya. Dia merangkul erat permaisurinya itu. Sungguh dia kasih akannya. Tidak pernah sekali pun dia menyesali pernikahannya dengan Wahidah. Kehadiran sekuntum bunga indah ke dalam hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Yusuf mengucap syukur kepada Allah di setiap hembusan nafasnya. Mereka bahagia walaupun setelah enam tahun, rumah itu masih belum dihiasi dengan tawa riang sikecil.
*********

Lena Wahidah malam itu ditemani air mata duka. Ditatapnya puas-puas wajah tenang yang sedang lena diulit mimpi di sebelahnya. Bila difikirkan semula, ada betulnya juga kata-kata ibu mertuanya petang tadi. Yusuf perlu meneruskan keturunannya. Wahidah mula memikirkan kembali akan keputusan besar yang harus dia hadapi nanti.
Lama dia beristikharah malam itu. Pintanya agar dia diberi kekuatan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang sebaiknya. Kasihnya pada Yusuf terlalu tinggi. Andai seorang zuriat mampu menyerikan hidup Yusuf, Wahidah rela. Dia rela berkongsi kasih meskipun hatinya bakal terluka. Apa yang penting baginya adalah kebahagiaan Yusuf dan ibu mertuanya.

"Ya Allah... Berikanlah hamba-Mu ini kekuatan dalam mengharungi cabaran dari-Mu...", rintih hati kecil Wahidah. Air matanya bercucuran mengenangkan suami yang mungkin akan dikongsikan bersama wanita lain nanti.
Andai saja dia bisa menjadi sekuat Sarah. Sarah, isteri milik Nabi Ibrahim a.s. Wanita mulia yang cukup kuat untuk berkongsi kasih sayang suami tercinta bersama seorang wanita lain bernama Hajar. Wanita mulia yang akhirnya dikurniakan Allah seorang zuriat atas kesabaran serta keteguhannya.
*********

Lima bulan berlalu. Pertemuan Yusuf dan ibunya tidak lagi diisi pertelingkahan apabila Yusuf membawa Wahidah dengan sebutir permata yang sedang membesar di dalam rahimnya. Sejak hari itu, sikap Hajah Marina terhadap Wahidah berubah serta-merta. Rajin sekali dia menjaga Wahidah. Sungguh dia kini kasih pada menantunya itu. Menantu yang dahulu dia caci maki dek kerana kekurangannya sebagai seorang wanita. Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Doa Wahidah dan Yusuf yang bertahun-tahun lamanya termakbul jua.
"Sayang, Abang redha sayang sebagai isteri Abang selama ini. Abang halalkan makan minum sayang. Abang ampunkan segala dosa-dosa sayang. Abang tunggu sayang kat sini. Abang tunggu sayang datang dengan anugerah permata kita.
Yusuf mengucup lembut dahi isterinya yang bakal dibawa masuk ke wad bersalin sebentar sahaja lagi. Wahidah tetap senyum manis walaupun kesakitan yang dia tanggung hanya Allah sahaja yang tahu.

Tempoh sembilan bulan menunggu kehadiran si permata cukup membahagiakan Yusuf. Kasihnya pada Wahidah kian mekar sepanjang tempoh itu. Anak yang mereka gelarkan permata itu seringkali mereka perdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran setiap malam. Sungguh kasihnya mereka kepada zuriat mereka yang bakal lahir itu.
**********

Enam jam berlalu begitu sahaja. Tangisan bayi perempuan yang memenuhi ruang tersebut cukup menggembirakan hati Yusuf. Namun, hatinya tidak keruan kerana tangisan itu tidak datang sendirian. Ada tangisan lain yang mengiringinya. Yusuf kenal suara itu. Cukup kenal.
Dia segera merempuh ke dalam wad tanpa menghiraukan para jururawat yang sedang bertugas. Dilihatnya Wahidah sedang tidur. Dia tersenyum senang. Dihampirinya jasad lemah itu. Dikucupnya dahi Wahidah dalam-dalam. Namun, saat dia memberikan kucupan tersebut, dia tidak dapat mengesan hembusan nafas Syakila. Ditatapnya wajah itu puas-puas. Jasad itu sudah kaku. Tidak bergerak lagi.
Yusuf tersungkur di hadapan jasad kaku tersebut. Sesungguhnya, Wahidah telah syahid dalam pertarungan agung itu.

Yusuf dengan tenang menerima takdir Allah itu…sesungguhnya tiap-tiap yang hidup pastikan mati sebagaimana firman Allah SWT..
كل نفس ذاء قة الموت
Disebalik kesedihan itu Allah tetap memberinya kegembiraan dengan kehadiran cahayamata yang comel yang diberi nama “Nuha Al-awab”…Terima kasih Ya Allah atas segala yang kau berikan kepadaku..doa Yusuf di dalam hati…



*****AYOB AL HANAN*****

Monday, May 31, 2010

Pengganas Akhir Zaman...






Masih ingatkah lagi kita dengan kekejaman yang pernah melanda saudara-saudara kita di bumi Palestin? Israel yang mengganas di Semenanjung Gaza, membunuh orang awam tanpa memperdulikan cemuhan dan kutukan masyrakat dunia terhadap mereka. Mereka ini sekarang seperti Raja Dunia yang berkuasa berbuat sahaja, melanyak segala apa yang dianggap sebagai musuh tanpa ada sesiapa yang mampu menahan kezaliman yang mereka lakukan secara terang-terangan itu.

Mengapa berlaku sedemikian? Bukankah bilangan mereka, bangsa Israel ini sedikit sekali jika dibandingkan dengan umat Islam?. Mengapa umat Islam yang berbilion bilangannya ini tidak mampu mempertahankan saudara seagama mereka di bumi berdarah Gaza ketika ini? Hanya yang mampu kita lakukan hanya berdemonstrasi, menyerahkan memorandum dan pelbagai tindakan yang tidak langsung memberi kesan yang signifikan ke atas nasib penduduk-penduduk islam di Gaza yang tertindas itu. Maka saya kira, kita harus dengan penuh rasa malu mengakui kelemahan kita di dalam menangani hal ini.

Apa yang berlaku hari ini adalah rentetan dari perancangan jangkapanjang dan pengimplementasian perancangan itu oleh Yahudi Zionis. Sebenarnya, musuh-musuh Islam terutama Yahudi tahu rahsia di mana kekuatan umat Islam dan di mana kelemahannya. Mereka berusaha mengambil tahu supaya di mana kekuatan itu yang hendak dilemahkan dan juga supaya kelemahan umat Islam itu terus dilemahkan.


Bagaimana orang Yahudi melemahkan umat Islam?

Di antaranya sebahagiannya kita sebutkan di sini untuk difaham.

Yang pertama :

Orang-orang Yahudi menggalakkan maksiat, dengan digalakkan pergaulan bebas di dalam pelbagai saluran,di dalam pendidikan, di dalam kebudayaan, di dalam ekonomi, supaya keturunan umat Islam terdedah kepada penzinaan, supaya keturunan umat Islam rosak. Bila keturunan umat Islam rosak,hidayah Tuhan tidak dapat. Setidak-tidaknya kalau umat Islam sudah asyik berhiburan, mereka akan lalai dengan tanggungjawabnya kepada Tuhan, seperti cuai sembahyang, seperti tidak memikirkan halal dan haram. Keturunan yang lalai itulah akan berkahwin dan melahirkan generasi, sambung menyambung yang akan datang dan melahirkan Generasi yang tidak dipimpin oleh Tuhan,maka akhirnya mereka hidup di dalam kelemahan.

Yang Kedua:

Begitu juga mereka orang-orang Yahudi mengeluarkan produk-produk makanan dan minuman. Di dalam makanan dan minuman itu dimasukkan unsur-unsur sihir, serta makan minum yang tidak halal supaya jiwa umat Islam yang sudah rosak tak dapat pimpinan Tuhan, hiduplah umat islam seperti haiwan. Kalau umat islam hidup macam haiwan,senanglah mereka mengkotak-katikkan umat Islam. Maka sambung menyambung jugalah generasi umat Islam di dalam kelemahan.

Yang Ketiga:

Begitu juga orang Yahudi merosakkan fikiran umat Islam melalui pendidikan, filem-filem serta bahan-bahan bacaan atau kebudayaan atau melalui ideologi, supaya merosakkan fikiran dan jiwa umat Islam.Kemudian umat Islam itu tak boleh dididik dan disedarkan dan di dalam keadaan itu umat Islam tidak akan kembali kepada Tuhan, dan tidak akan bersatu dan berkasih sayang sesama umat Islam.Di waktu itu orang Yahudi mengkotak-katikkan umat Islam yang di dalam kelemahan. Walaupun ramai umat Islam di dalam kelemahan macam buih-buih di lautan.

Kalau dia orang politik, jatuh menjatuhkan di antara mereka, fikirannya, kuasa dan jawatan. Mudah untuk mendapat musuh, tetapi mudah juga untuk mendapat kawan. Mudah untuk musuh jadi kawan, dan begitu juga sebaliknya amat mudah kawan menjadi musuh. Keadaan itu jadi budaya di dalam kehidupan.

Kalau golongan ekonomi fikirannya mencari keuntungan dan kekayaan, sekalipun orang lain mendapat kesusahan dan penindasan asalkan apa yang penting dapat diperolehi iaitu wang dan kekayaan.

Kalau golongan pendidikan berbangga dengan ilmu pula, dengan ilmunya untuk mendapat jawatan supaya hidup lumayan. Kemudian megah pun datang dan hidup nafsi-nafsi menjadi budaya, masing-masing hidup cara sendiri.

Kalau golongan artis dan budayawan kerana mencari makan membuatlah filem-filem walaupun hasil dari filem-filem itu hanya merosakan orang ramai. Yang penting ialah mereka menjadi popular dan dapat glamour, dapat duit senang makan. Senang dapat rumah besar dan kenderaan mewah, walaupun kegiatan mereka itu merosakkan sehingga akhlak orang ramai bercanggah dengan syariat Islam.

Kalau golongan buruh pula mereka asyik fikirkan kenaikan gaji.Kalau tidak bersetuju dengan majikan mereka sanggup demonstrasi kerana kenaikan gaji, tidak fikir zaman inflasi. Yang penting majikan naikkan gaji.

Begitu jugalah golongan-golongan lain yang tidak sebutkan, mereka masing-masing ada watak dan gaya hidup yang bersendirian.

Begitulah umat Islam sudah tidak fikirkan Tuhan, watak dan sikap tidak boleh disatukan. Masing-masing golongan ada watak dan hidupnya yang tersendiri. Itulah yang berlaku kepada umat Islam di hari ini dan hendak dibetulkan semula semua ini kita memerlukan seorang pemimpin yang ada wibawa,yang boleh menyatukan semua golongan itu.

Kita berdoalah agar Tuhan cepat tunjukkan seorang pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan, untuk memimpin umat Islam dan mendapat bantuan Tuhan untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku di kalangan umat Islam, supaya kehinaan itu tidak berpanjangan

Saturday, May 29, 2010

5 Prinsip Hidup AsSyahid Imam Hassan Al Banna...

Sahabat2 mari kita amalkan prinsip hidup yang diamalkan oleh As Syahid Imam Hassan Al Banna...
Moga kita sama2 mendapat keberkatan , kerahmatan dan keampunan Allah SWT...
Get ISLAMIC-Graphics



1) Allahu ghaayatuna - Allah matlamat kami (Allah is our objective)

2) Ar-Rasul qudwatuna - Rasul ikutan kami (Rasul is our leader)

3) Al-Quran dusturuna - Al-Quran perlembagaan kami (Quran is our law)

4) Al-jihad sabiiluna - Al-jihad itu jalan kami (Jihad is our way)

5) Al-Mautu fisabiilillah asma amanina - Mati pd jalan Allah cita-cita kami (Dying in
the way of Allah is our highest hope)



jom  jadi macam dia...cerita agama di kedai kopi



Friday, May 28, 2010

Nenek2, tolong ajar wawa apa makna bacaan2 dalam solat?



Assalamualaikum sidang pembaca..ibadah solat merupakan salah satu drpd rukun Islam..nilainya amat besar..masakan tidak sehingga perintah pelaksanaannya diterima oleh junjungan besar Rasulullah s.a.w. ketika Baginda bertemu Allah s.w.t. tatkala peristiwa mi'raj..namun,saya yakin masih ramai yg belum memahami maksud bacaan ketika solat..cuba kalian bayangkan jika hidup sudah menjangkau 50 tahun tetapi masih belum tahu maksud bacaan tahiyat akhir..amatlah malang..jadi,marilah kita bersama2 mempelajari dan menghafaznya supaya ibadah solat kita mampu diperbaiki,insyaAllah..


Takbiratul-Ihram & Takbir
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan
banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit
dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan
aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya
solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah
Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan
kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya
dan aku dari golongan orang Islam.


Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha
Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta
alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang
menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami
sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan
orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka,
bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan
mereka yang sesat.


Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala
puji-pujiannya.


Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala
puji-pujiannya.


Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku,
lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku,
berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.


Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah
untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan
rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas
kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik
saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik
saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya
Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.


Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah
untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan
rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas
kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik
saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik
saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya
Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke
atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas
Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas
Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau
berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di
dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi
Maha Agung.


Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang
yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku
sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau
pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah
Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala
kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya
hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak
sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain
daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang
memperolehi pimpinanaMu. Dan tidak mulia orang-orang
yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya
Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau
sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah
Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat
kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang
ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan
sahabat-sahabatnya.

Salam
Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.