Biasanya perkataan ZIKIR lebih dominan dengan golongan agama, manakala perkataan FIKIR pula ditujukan kepada mereka yang berfikir ataupun dikenali sebagai intelektual. Perlabelan ini menjadi semakin jelas ketika zaman pertengahan Eropah wujud. Pertembungan dua gelombang antara golongan beragama dan golongan berfikir semakin meninggi, semuanya bermula dengan keengganan gereja menerima dan mengiktiraf pandangan-pandangan saintis ketika itu.
Semasa zaman pertengahan Eropah yang dikenali dengan zaman Enlightment (pertengahan abad ke-17), masyarakat yang berfikir sentiasa dimusuhi oleh masyarakat yang berzikir. Peristiwa pertembungan antara golongan gereja dan ahli sains ketika itu telah mencipta jurang yang sangat besar antara ZIKIR dan FIKIR. Kemuncaknya apabila Galileo dihukum sebagai pembuat bidaah dan berbahaya oleh pihak gereja.
Ini kerana teori yang dikemukan oleh Galileo iaitu Matahari adalah pusat cakerawala dan bukannya Bumi. Manakala golongan FIKIR pula menjadi elergik terhadap golongan ZIKIR. Pada pandangan mereka, golongan ini adalah manusia yang tidak produktif dan manusia yang tidak menyumbangkan apapun terhadap ketamadunan. Maka muncullah golongan Sekularisme dimana kepercayaan atau fahaman yang menganggap bahawa urusan keagamaan atau ketuhanan (Zikir) tidak harus dicampurkan dengan urusan negara, politik dan pentadbiran (Fikir).
Ringkasnya sekularisme adalah satu fahaman yang memisahkan antara urusan agama dari kehidupan dunia seperti politik, pentadbiran, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Islam melihat permisahah ini sebagai satu racun dan kemudaratan terhadap sistem kehidupan. Islam tidak membenarkan permisahan antara ZIKIR dan FIKIR, kerana Islam mengiktiraf kedua-duanya sebagai saling melengkapi.
Larangan pemisahan jelas dapat dilihat didalam al-Quran apabila, Allah menyuruh orang-orang beriman agar mengambil agama secara keseluruhan iaitu ZIKIR dan FIKIR. Kata Allah;
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Peringatan ini sangat diperlukan apabila sebahagian umat Islam sudah mula untuk cenderung mengambil sikap memisahkan antara ZIKIR dan FIKIR. Sejak kejatuhan Khilafah Turki Utsmaniah pada 1924, kecenderungan ini mula nampak apabila Kamal Attartuk memisahkan rakyat Turki dari agama dengan kehidupan apabila secara rasminya meletakkan negara itu dibawah bumbung pemerintahan Sekuarlisme.
Bukan hanya rakyat Mahrain yang terpengaruh dengan doktrin pemisahan ZIKIR dan FIKIR ini, malahan para sarjana Islam juga tidak terkecuali. Syeikh Ali Abdul Raziq (1888-1966) seorang sarjana dalam bidang Syariah dan juga Syeikh di Al-Azhar, mencetuskan kontroversi apabila buku beliau yang bertajuk “Al-Islam Wa Usul Al-Hukm” (Polemik Islam & Dasar Pemerintahan) yang diterbitkan pada tahun 1925 sejurus setahun selepas kejatuhan Khilafah Utsmaniah membicangkan dan menekankan bahawa politk dan sistem pemerintahan seharusnya dipisahkan dari agama.
Buku beliau mendapat bantahan yang keras dari pelbagai sarjana Islam dan Universiti al-Azhar telah melucutkan gelaran Syeikh daripada beliau. Peristiwa ini sangat jelas memberitahu kepada kita bahawa kekalutan dan kemudaratan yang besar akan berlaku apabila ZIKIR dan FIKIR tidak lagi disatukan. Di dalam kita berzikir dengan merenung dan bertadabbur ayat-ayat Quran, sebenarnya dalam masa yang sama kita juga menggerakan minda kita untuk berfikir.
Buktinya sangat jelas apabila Allah mengkhbarkan kepada manusia tentang Matahari bukanlah statik tetapi mempunyai orbitnya sendiri melalui surah Yassin ayat 38,
وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَهَا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ
Maksudnya:..dan (sebahagian dari dalil Yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat Yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui.
Maksudnya:..dan (sebahagian dari dalil Yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat Yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui.
Fakta yang dikemukakan dalam Al-Quran ini telah ditemui melalui pemerhatian astronomi hari ini. Berdasarkan kepada kiraan pakar-pakar astronomi, matahari bergerak dalam kelajuan yang besar selaju 720, 000 km sejam mengarah ke bintang Vega dalam satu orbit tertentu dalam sistem Solar Apex. Ini bererti matahari bergerak sejauh 17,280,000 km sejam secara anggaran. Bersama-sama dengan matahari, dan semua planet dan satelit yang berada dalam lingkungan sistem graviti matahari (sistem solar) juga turut bergerak pada jarak yang sama.
Di dalam kita berzikir sebenarnya kita juga berfikir, fakta ini juga membuktikan bahawa Islam tidak pernah memisahkan manusia khususnya penganutnya dari Zikir dan Fikir. Malahan meraikan kedua-duanya, kerana kedua-duanya sangat diperlukan dalam membina sisitem kehidupan yang sejahtera dan bertamadun. Buktinya, Allah berkata dalam surah al-Imran ayat 191,
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang Yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka.
Jadi persoalannya kini, dimanakah ZIKIR dan FIKIR kita?
No comments:
Post a Comment